Tafsir Bertema Lonjak Kebangkitan Umat

Posted on Oktober 29, 2008. Filed under: Uncategorized |

Tafsir Bertema Lonjak Kebangkitan Umat PDF Print

Dalam tradisi keilmuan Islam khazanah ilmu-ilmu al-Quran merupakan bidang yang paling banyak dikaji dan ditulis oleh para ulamak. Kitab-kitab tafsir yang memenuhi perpustakaan merupakan bukti nyata yang menunjukkan kegigihan para ulama untuk menggali dan memahami makna-makna yang terkandung dalam al-Quran. Terdapat empat jenis metode penafsiran al-Quran iaitu metode al-Tahlili (Tafsiran analisa), metode al-Ijmaliy (Tafsiran global), metode al-Muqaran (Tafsiran Perbandingan) dan metode al-Maudhu’iyy (Tafsiran Bertema) . Dalam tulisan ini, penulis akan menumpukan kepada tafsiran bertema, takrif, manhaj, keistimewaan dan sebab-sebab kemunculan alirannya pada masa kini.

Tafsir analisa adalah suatu metode yang menjelaskan kandungan ayat-ayat al-Quran dari seluruh aspeknya. Penafsir mengikut ketertiban ayat sebagaimana yang tersusun dalam al-Quran. Misalnya Tafsir al-Tabari, Tafsir al-Razi, Tafsir al-Baidawi, dan Tafsir al-Qurtubi. Tafsir global ialah suatu metode tafsir yang menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan cara mengemukakan makna global.
Penafsir akan membahaskan ayat-ayat mengikut susunan kemudian mengemukakan makna secara global seperti yang dimaksudkan dalam ayat tersebut. Segala lafaz bahasa penafsiran ini hampir sama dengan lafaz al-Quran. Contohnya seperti Tafsir al-Jalalain, Safwat al-Bayan li Ma’ani al-Quran oleh Hussin Makhluf. Tafsir perbandingan ialah mengemukakan penafsiran ayat-ayat al-Quran dengan meneliti sejumlah kitab-kitab tafsir serta membuat perbandingan ayat-ayat dalam kitab tersebut. Tafsir Bertema iaitu menghimpunkan ayat dalam satu topik kemudian menafsirkannya bersesuaian dengan tujuan dan matlamat al-Quran.

Dr. Abdul Satar Fathullah dalam bukunya Madhal ‘ila Tafsir al-Maudhu’iyy (Pengantar Tafsir Bertema memberi definisi sebagai menghimpunkan ayat-ayat al-Quran yang mempunyai makna yang satu dan meletakkan dalam satu tajuk yang satu dan mengkaji mengenainya dalam satu perbahasan dengan mengeluarkan ayat-ayat al-Quran dalam satu bentuk yang khusus. Sementara itu, Dr. Mustafa Muslim dalam bukunya Mubahis fi Tafsir al-Quran menyebutkannya sebagai ilmu yang berkaitan dengan isu-isu semasa bersesuaian dengan tujuan-tujuan al-Quran dari perspektif satu surah atau lebih.

Sesetengah ulamak menerangkan maksud tafsir bertema ialah mengutarakan tajuk-tajuk yang tertentu selepas itu menerangkan isu-isu yang besar yang terdapat dari ayat-ayat al-Quran. Kemudian kita mempelajari tajuk itu dengan membuat analisa dari segenap sudut berdasarkan ayat-ayat sambil membuat perbandingan antara nas-nas tersebut hingga akhirnya kita mendapat gambaran yang jelas mengenai tajuk tersebut.

Tajuk-tajuk ini akan menerangkan pandangan-pandangan Islam yang dinaungi dengan nur al-Quran sambil meninggalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan nas-nas al-Quran. Pengajian al-Quran ini sungguh bermanfaat, banyak menyelesaikan persoalan dalam al-Quran dan mudah difahami. Bagi menafsirkan ayat-ayat al-Quran melalui aliran ini, seseorang itu mestilah membaca keseluruhan isi surah tersebut. Perkara ini amat penting supaya ia dapat mengupas tajuk-tajuk itu dengan gambaran yang jelas. Ada juga yang mendefinasikan dengan menghimpun ayat-ayat yang berselerakkan dalam surah-surah al-Quran dalam satu tajuk dari segi lafaz atau hukum dan menafsirkannya bersesuaian dengan tujuan dan matlamat al-Quran.

Muhammad al-Ghazali berpendapat bahawa tafsir bertema ialah menggarap sesuatu surah dengan seutuhnya, melakar gambaran menyeluruh dan menghubungkaitkan aspek kesepaduan serta kaitan bahawa awalnya ialah pengantar dan penghujungnya ialah kebenaran kepada pengantar. Fathi Uthman menyebutkan tafsir bertema ialah mengumpulkan dan menyusun kesemua ayat-ayat yang berkaitan dengan sesuatu tema untuk melihat bagaimana al-Quran menangani konsep secara padu dan utuh.

Para pengkaji bersepakat bahawa tafsir bertema merupakan suatu ilmu yang amat penting kerana ia mengabungkan tafsir dengan isu-isu semasa. Isu-isu yang diutarakan oleh al-Quran merupakan asas dalam pembinaan umat. Ini bererti bahawa al-Quran bukanlah jauh dari kehidupan dan pemikiran, tidak lari dari segala permasalahan manusia dalam setiap masa dan zaman.Al-Quran bukan sahaja kitab rohani semata-mata malah ia merupakan kitab yang menerangi jalan ke arah mendekatkan diri kepada Allah tanpa mengurangkan keperluan kehidupan seharian manusia. Oleh itu, tafsir bertema ini mampu untuk berkembang dan menonjolkan matlamat Islam yang betul.

Tafsiran bertema juga dapat membetulkan banyak perkara dari segi pendekatan kaedah dan hukum-hukum yang telah diperkatakan oleh ulamak-ulamak dalam pelbagai disiplin ilmu.Malik bin Nabi, seorang pemikir Islam menyebutkan bahawa umat Islam sekarang perlu mengembalikan kekuatannya. Cara yang paling utama ialah mewajibkan pengajian al-Quran secara sistematik iaitu menghubungkaitkan wahyu secara tersusun kepada setiap jiwa muslim dengan hakikat al-Quran yang sebenar.

Antara sebab timbulnya aliran tafsir bertema ini ialah keadaan umat Islam yang jauh daripada ajaran al-Quran. Oleh kerana itu, para ulama memainkan peranan dalam menyeru umat Islam kembali kepada penghayatan al-Quran. Dengan sebab demikian, pentingnya para ulama mengupas isu-isu kemasyarakatan berdasarkan tema-tema dalam al-Quran supaya dapat difahami secara mudah.

Begitu juga, zaman ini merupakan zaman perkembangan ilmu yang pesat yang menyebabkan para pengkaji meneliti sesuatu ilmu dengan mendalam. Para ulamak tafsir dapat mengeluar dan menghimpunkannya mengikut situasi semasa dengan teliti. Di samping itu, penerbitan mu’ajam, cakera padat yang berkaitan dengan al-Quran semakin banyak. Perkara ini memudahkan lagi para pengkaji mengeluarkan tajuk-tajuk dari ayat-ayat al-Quran.

Penubuhan jabatan-jabatan tafsir yang memberi bimbingan kepada pelajar peringkat sarjana dan Ph.d untuk membuat pengkajian mengenai tafsir bertema ini menyebabkan perkembangannya semakin cepat dan meluas. Dari huraian di atas, kita dapati tafsir bertema amat penting dalam konteks umat Islam kini kerana ia merupakan asas dalam menyelesaikan masalah umat berdasarkan panduan al-Quran. Tafsir bertema dapat mengemukakan alternatif dan menonjolkan matlamat dan maqasid al-Quran. Ia juga mampu mengemukakan manhaj dakwah dan Islah menurut perspektif al-Quran yang sebenar.

Di samping itu, ia merupakan metode tafsir yang paling ideal untuk membimbing manusia mengenal pelbagai petunjuk yang terkandung dalam al-Quran dan menegaskan kepada manusia bahawa isu-isu dan tema-tema yang terkandung dalam al-Quran tersebut tidak hanya bersifat teoritis semata-mata tanpa memiliki hubungan yang sebenar dengan apa yang dialami oleh individu dan masyarakat dalam kehidupan mereka. Tafsiran bertema ini merupakan satu istilah baru yang mana pengkajian dan penulisannya adalah lahir daripada tuntutan masyarakat dan massa. Ulamak-ulamak silam tidak mengenalinya seperti mana yang kita kenali hari ini. Mereka hanya menafsir al-Quran secara analisa dari satu ayat ke satu ayat mengikut tertib ayat dan surah.

Perkara ini tidaklah mengurangkan taraf mereka atau mengaibkan keilmuan mereka kerana mereka telahpun menyempurnakan hak serta keperluan masyarakat ketika itu. Kita tidak perlu meminta keperluan yang baru ini daripada mereka. Kita yang sepatutnya menunaikan keperluan masyarakat kini yang memerlukan tafsiran bertema ini dan tanggungjawabnya adalah terletak kepada para alim ulamak kini. Para ulamak berkewajipan memperbaharui arah tafsir menuju kepada kajian al-Quran secara bertema, suatu kajian yang akan melengkapkan kepada manusia maksud dan tujuan al-Quran dengan metode dan pemahaman yang relevan dengan perkembangan umat zaman sekarang.

Penafsiran bertema ini diharapkan mampu melenyapkan segala tuduhan negatif yang dilontarkan oleh pihak Barat dan kaum orientalis sebagai akibat dari kajian mereka yang tidak secara bertema atau secara bertema yang terputus-putus ataupun kajian secara bertema yang tidak betul. Oleh itu, keperluan umat Islam akan metode tafsir bertema ini amat penting dan dapat memberi sumbangan yang besar dalam pembaharuan metode dakwah terutama dalam konteks masyarakat Malaysia.

Antara manhaj tafsir bertema ialah memilih atau menetapkan satu topik dalam al-Quran yang akan dikaji secara bertema, mencari dan menghimpunkan ayat-ayat yang berkaitan dengan masalah yang ditetapkan sama ada ayat makkiyyah dan madaniyat, menyusun ayat-ayat tersebut secara tertib menurut kronologi masa turunnya dan asbab al-Nuzul, mengetahui munasabah ayat-ayat tersebut dalam tiap-tiap surahnya, menyusun tema perbahasan dalam kerangka yang sistematik dan sempurna, melengkapi perbahasan dan huraian dengan hadis sehingga ia menjadi mantap, menyelusuri ayat tersebut secara bertema, menyesuaikan pengertian am dan khas, antara mutlaq dan muqayyad, nasikh dan mansukh sehingga semua ayat tersebut bertemu pada satu muara tanpa ada percanggahan.

Tafsir Bertema ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu

1. tafsiran bertema bagi Istilah al-Quran,

2. tafsiran bertema bagi tema-tema al-Quran; dan

3.tafsiran bertema bagi surah al-Quran.

Tafsiran bertema bagi istilah al-Quran ialah seorang penafsir akan membahaskan istilah-istilah dalam al-Quran seperti sabar, jihad, keadilan, amanah, iman dan lain-lain. Antara tafsir jenis ini ialah kitab al-Ummah fi dalalatuha al-Arabiah wa al-Quraniyah oleh Dr. Ahmad Farhat.

Tafsir bertema bagi tema-tema al-Quran iaitu seseorang penafsir akan mencari satu tema dalam al-Quran seperti akidah dalam al-Quran, Rasul dalam al-Quran dan Munafiq dalam al-Quran. Aliran ini lebih luas perbahasannya daripada aliran istilah tadi yang hanya terbatas kepada makna istilah yang terdapat di dalam mu’ajam dan perbezaan lafaz. Antara tafsir jenis ini ialah al-Sabr fi al-Quran oleh Yusuf al-Qardhawi dan al-Wasatiyyah fi al-Quran oleh Nasr al-Amri.

Tafsir bertema bagi surah dalam al-Quran iaitu menghuraikan nama-nama surah dan hikmah penamaannya denga tajuk-tajuk yang terdapat di dalamnya. Penafsiran jenis ini pernah dikemukan oleh Zamakhsari, al-Razi dan al-Biqa’iyy. Antara tafsir jenis ini ialah Nahw Tafsir Maudhu’iyy oleh Muhammad al-Ghazali.

Antara langkah-langkah yang perlu diberi perhatian semasa tafsiran bertema ialah dengan memilih tajuk dan tema al-Quran yang ingin dikaji seperti kerasulan dalam al-Quran atau kisah nabi Ibrahim dalam al-Quran. Kemudian mengarap sebab-sebab pemilihan tajuk itu dan matlamat dari kajiannya serta keperluan tajuk tersebut untuk umat Islam dari segi menyelesaikan masalah mereka.

Penafsir hendaklah menghimpunkan ayat-ayat yang membicarakan tajuk tersebut sama ada dari lafaz yang nyata atau lafaz yang membawa maksud kepadanya seperti tajuk kerasulan dalam al-Quran maka penafsir boleh menghimpunkan ayat-ayat dan perkataan al-Rasul, al-Nabi, al-Wahy, al-Kitab dan al-dakwah. Kemudian beliau mengeluarkan dan membahaskan makna-makna lafaz tersebut dari kamus-kamus yang muktabar seperti Muqayyis al-Lughah oleh Ibn Faris dan Mufaradat al- Alfaz al-Quran oleh Raghib al-Asfahani serta menganalisa istilah-istilah asas bagi topik tersebut.

Analisa ini boleh dilakukan dengan mengunakan mu’ajam al-Quran dan merekodkan perkara-perkara penting mengenai ayat-ayat tersebut seperti asbab al-Nuzul.

Penafsir perlu membaca ayat-ayat tersebut dari kitab-kitab muktabar seperti Tafsir al-Tabari, Tafsir Ibn Kathir dan menerangkan topik tersebut dengan suasana masyarakat kini dan penyelesaian permasalahan manusia berdasarkan ayat dan topik itu. Kemudian barulah membuat kesimpulan, iktibar dan instisari dari topik bertema itu..

Di samping itu, penafsir hendaklah mengemukakan pengajian dan kajian al-Quran semasa yang khusus yang mempunyai hubungan dengan topik al-Quran dan mengetahui manfaat kajian tersebut kepada pengajian tafsiran bertema.

Oleh demikian, tafsiran bertema dapat memberi gambaran menyeluruh mengenai isu dan topik-topik yang terdapat dalam al-Quran secara utuh dan padu. Al-Quran harus ditanggapi sebagai kitab hidayah dari Allah untuk memandu manusia kepada kebenaran dan sesuai untuk semua zaman. Memahami al-Quran secara cebisan akan menyebabkan fahaman yang dangkal tentang sesuatu fenomena lalu menatijahkan sikap yang simplistik dengan kesimpulan yang silap. Muhammad al-Ghazali berkeyakinan era sekarang merupakan era tafsir bertema yang mana ia dapat menonjolkan matlamat dan mampu berbakti kepada Islam dengan lebih jelas dan jaya.

Make a Comment

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d blogger menyukai ini: