Melahirkan Kepimpinan Unggul : Pelan Tindakan Dan Strategi

Posted on Desember 6, 2008. Filed under: Uncategorized |

Melahirkan Kepimpinan Unggul : Pelan Tindakan Dan Strategi PDF Print E-mail

ASAS PERBINCANGAN

Di dalam era moden ini kita berada di dalam dilema apabila berdepan dengan tugas untuk menyampaikan formula penyelesaian terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat, dan ini memerlukan pada aspek kepimpinan yang kukuh. Kepimpinan boleh dibentuk dan diperbaiki; serta disuburkan, difahami dan digarap berdasarkan prinsip-prinsip kreatif dan saintifik yang menurut asas Islam (within creative and scientific principles constructed on the foundations of Islam). Prinsip menyuburkan kepimpinan ini adalah melalui bimbingan Al-Qur’an dan cara Rasulullah SAW yang menjadi sumber Rahmatan Lil ‘Alamin – Rahmat bagi seluruh alam. Hal ini menyimpulkan prinsip dan contoh kepimpinan sejagat.

Objektif perbincangan ini, walaupun ringkas dan tidak bermaksud untuk menjadi tatapan konklusif, adalah untuk menyediakan asas tasawwur bagi mencipta strategi global kepimpinan muda dan untuk menggarap realiti semasa, pandangan masa depan, di dalam konteks untuk menjernihkan mesej Islam di dalam dunia hari ini.

Warisan Islam memperlihatkan kepada kita keutuhan masyarakat yang ideal oleh Rasulullah SAW di Madinah dan bagaimana pengalaman tersebut membentuk tamaddun dunia yang meliputi Madinah hingga ke Banghdad, Timur Tengah, Utara dan Afrika, Utara dan Eropah Tengah termasuklah Spain, Turki, Negara-negara Balkan, Russia – selama lebih seribu tahun. Namun, persoalan getir yang perlu setiap daripada kita garap dengan ikhlas ialah – sampai bila kita akan bersenang-senangan dengan nostalgia gemilang Islam tanpa meneruskan kecemerlangan tersebut?

Justeru, membicarakan persoalan kepimpinan merupakan suatu tugas yang amat berat oleh kerana ia berkait langsung dengan tugas kekhalifahan kita di muka bumi ini. Seperti pernyataan yang pernah diungkapkan oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadhil, kualiti kepimpinan itu dapat diukur berdasarkan kemampuannya merealisasikan fungsi sebagai ‘human transformer’ – Perubah manusia dan ‘culture builder’ – Pembina budaya. Persoalan kepimpinan ini merupakan tugas yang berat kerana sebagai pemimpin seseorang harus terlebih dahulu terpimpin di dalam hidayah dan petunjuk Ilahi. Seseorang pemimpin itu, yang pertama dan utama haruslah menjelmakan ajaran Ilahi dan contoh Rasul SAW pada dirinya sebelum menjalankan usaha-usaha da’wah.

Di kesempatan ini saya ingin berkongsi lima cabaran utama di dalam usaha kita untuk membina strategi kepimpinan unggul. Di dalam membincangkan cabaran-cabaran ini saya akan cuba berkongsi beberapa saranan idea dan pengalaman sebagai rangka plan dan strategi untuk melahirkan kepimpinan unggul.

CABARAN PERTAMA – GLOBALISASI

Yusuf Islam pernah menyebutkan bahawa ‘Budaya dan nilai hidup Barat itu adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’. Globalisasi sebagai suatu proses yang sedang kita lalui menyerlahkan pelbagai kesan dan cabaran kepada umat Islam. Kekuatan dan kelemahan umat Islam akan banyak bergantung pada respons terhadap globalisasi. Penyebaran maklumat yang pesat membolehkan kita mengalami amalan-amalan sosial (yang meliputi kehidupan beragama) yang berlainan yang datang daripada kebudayaan asing dari merata dunia – sesuatu yang belum pernah kita alami dulu. Oleh kerana masyarakat Barat, khususnya Amerika, pada masakini menerajui bidang teknologi, maka kebudayaan Amerika semakin menular dalam hidup kita. Penyebaran maklumat yang tidak seimbang ini menyebabkan globalisasi sering disamakan dengan pengaruh Amerika. Seterusnya oleh kerana sistem perniagaan Amerika memulakan perluasan secara global ini, fenomena globalisasi seringkali dilihat sebagai kapitalisma. Banyak yang berlaku dan berkaitan antara satu sama lain, justeru amat sukar untuk menjelaskan dengan tepat makna globalisasi. Mungkin secara ringkas globalisasi boleh diertikan sebagai pengeluaran amalan ekonomi dan sosial ke satu budaya yang berbeza disebabkan oleh pertembungan budaya.

Globalisasi telah dan akan mempunyai kesan yang mendalam ke atas semua masyarakat. Apa yang sebenarnya menakutkan ialah bukan pengaruh Amerika, tetapi budaya kapitalis yang menganjurkan budaya konsumerisme didorong keinginan untuk mendapat lebih banyak keuntungan material. Manusia mula menjadi sekadar pengguna dan boleh dikaji untuk mengetahui kelakuan dan cara kita berbelanja. Kesannya, identiti serta nilai-nilai budaya kita semakin berkurangan.

Bahaya gobalisasi yang paling besar ialah kejahilan mengenainya. Ramai orang tidak sedar bahawa fenomena tersebut berlaku terhadap mereka. Hakikatnya setiap individu dipengaruhi oleh keadaan ini. Bagi ramai orang ia adalah mengenai kekaguman terhadap sesuatu yang baru, malah status baru. Namun tanpa sedar, nilai-nilai hidup kita telah berubah. Kita dapati ikatan kekeluargaan semakin longgar kerana akar-umbi kita telah terputus, dan kita terpaksa menyemai yang baru berdasarkan nilai-nilai yang berbeza. Nilai-nilai hidup yang baru ini sering bercanggah dengan yang lama dan tumpuan diberi kepada pembangunan luaran daripada perkembangan dalaman serta sahsiah seseorang.

Fenomena ini telah meletakkan kekayaan material sebagai tunjang kehidupan seseorang dan sesebuah keluarga. Pada hari ini kita lihat ibubapa bekerja sepenuh masa dan meninggalkan anak-anak mereka di bawah jagaan pembantu rumah dan pengasuh. Ibubapa ini didorong sepenuhnya oleh peningkatan kerjaya.Ada yang tidak melihat anak-anak mereka lebih dari dua jam sehari. Ibubapa hari ini menekankan nilai-nilai diluar perkembangan jatidiri dan saya yakin inilah yang menjadi punca masalah sosial. Kita memerlukan lebih pemerhatian dan matlamat dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ibubapa mengikut kehendak kita dan bukan seperti dikatakan oleh pihak media.

Generasi muda Islam perlu terlibat untuk menentukan polisi-polisi penting melibatkan masa depan mereka, termasuklah pendidikan, budaya, teknologi, kepimpinan, pemikiran dan cara hidup.

CABARAN KEDUA – KEPEDULIAN SOSIAL GENERASI MUDA ISLAM

Kepedulian sosial boleh diungkapkan sebagai satu semangat dan rasa sanubari yang sensitif terhadap apa jua permasalahan, kemelut dan pergolakan yang berlaku di dalam masyarakat, khususnya masyarakat Islam. Ini tidaklah pula terbatas hanya kepada masyarakat Islam kerana ada banyak isu-isu yang berlaku adalah merupakan isu-isu yang turut meliputi masyarakat bukan Islam, termasuklah isu-isu akhlak dan seumpamanya. Kepedulian sosial menurut perspektif Islam ialah rasa “empathy” yang lahir setelah bergelumang dalam kemelut masyarakat dan seterusnya dapat menawarkan bentuk-bentuk penyelesaian yang meyakinkan masyarakat untuk dilaksanakan . Isu-isu cara hidup semakin dikuasai golongan yang liberal dan terpengaruh dengan cara hidup barat. Atas nama hak asasi manusia, pelbagai prinsip dasar Islam dirungkai dan ditentukan menurut acuan barat. Justeru para aktivis Islam dan mereka yang prihatin dengan kebejatan yang terhasil dari pengaruh barat ini harus bersungguh-sungguh mengetuk sanubari dan bertanya adakah mereka telah melakukan yang sepatutnya sebagai seorang Muslim. Perasaan “empathy” sebagai seorang Muslim ini melampaui pengamalan ibadah peribadi, sebaliknya mencetuskan nilai seorang hamba Allah yang terus beristiqamah di dalam ibadahnya dengan Allah SWT demi memperbaiki sikap dan interaksi sesama Muslim dan penganut agama lain.

Di dalam realiti semasa, kepedulian sosial ini semakin terhakis dari kalangan masyarakat Islam. Isu-isu tempatan yang begitu mencabar sentiasa dikesampingkan dan tidak mendapat perhatian serius. Gagasan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (Interfaith Commission – IFC) adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. Badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama. Matlamat IFC ialah untuk meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang-orang bukan Islam .
Sementara di peringkat serantau pula, kita berdepan dengan pelbagai cabaran yang datang melalui agenda liberalisasi Barat. Tahun 2003, Washington telah menghulurkan dana USD170 juta untuk sekolah-sekolah di Indonesia, untuk menghapuskan apa yang disebut sebagai ajaran-ajaran radikal di pesantren-pesantren . Laporan tersebut menambah bahawa dampak pesantren penanam radikalisme itu perlu dibendung di atas sangkaan selama ini merekalah yang mengajarkan prinsip dan keyakinan anti Barat. Mengutip sumber-sumber diplomatik, Weekend Australian memaparkan, rencana bantuan pendidikan AS itu diarahkan ke sekolah-sekolah negeri dan sekolah-sekolah Islam yang dianggap sederhana. Selain program pembinaan jaringan dan program liberalisasi pendidikan Islam, sejak tiga tahun terakhir ini Washington (dan Canberra) aktif mengundang pimpinan-pimpinan pesantren, NGO-NGO Islam dan para wartawan berkunjung ke AS. Program biasiswa dan pertukaran pelajar ke AS juga terus digiatkan agar pelajar-pelajar Muslim makin memahami keinginan dan kepentingan AS.

CABARAN KETIGA – MENGEMBALIKAN SEMULA PERANAN ULAMA DI ARUS PERDANA

Peranan ulama’ dan agamawan perlu diarusperdanakan semula. Kebangkitan ulama’ tradisional Islam di barat merupakan suatu kekuatan yang perlu dihargai, sementara kita terus menyantuni kekuatan ualama’ timur tengah dan nusantara. Di United Kingdom sebagai contoh, di kalangan generasi muda Islam yang terpelajar dan profesional berpusu-pusu menimba ilmu tradisional Islam, sama ada melalui tokoh-tokoh Ilmuwan Islam yang berhijrah ke Barat atau mereka sendiri yang mengembara ke pusat-pusat pengajian terkemuka di timur tengah.

Saya suka berkongsi pengalaman menarik bagaimana sistem pengajian ilmu tradisional ini digabungkan dengan pendekatan moden – penggunaan pembelajaran medium maya – virtual learning medium – www.sunnipath.com, www.masud.co.uk, sekadar menyebut beberapa contoh, yang sedang berkembang dengan pesat di United Kingdom. Terdapat juga halaqah-halaqah yang dianjurkan secara traditional untuk menyemarakkan pemelajaran kitab-kitab tradisional Islam, selain usaha bersungguh-sungguh nuntuk menjemput para ulama’ dari Timur Tengah menyebarkan ilmu mereka di tanah Barat.

Trend kebangkitan ini juga dapat dilihat melalui kewujudan pelbagai penerbitan berkualiti di Barat, termasuklah Islamica Magazine – www.IslamicaMagazine.com, Seasons Journal, dan pelbagai terjemahan serta tulisan buku-buku bermutu yang menggali semula kegemilangan tradisi keilmuwan Islam yang telah diwariskan oleh ulama’ terdahulu, termasuklah Imam As-Syafie, Imam An-Nawawi, Imam Al-Ghazali, Syaikh Sayyid Ibn Alawi Al-Maliki dan ramai lagi.

Institusi-institusi pendidikan tinggi terkemuka di Barat juga mulai menerima manfaat kehadiran tokoh-tokoh tradisional Islam – Oxford Centre for Islamic Studies, European Institute for Islamic Studies. Tokoh-tokoh tradisional Islam semakin mendapat tempat di Barat, seperti Syaikh Nuh Ha Mim Keller, Syaikh Hamza Yusof dan Syaikh Abdal Hakim Murad.

Justeru, adalah menjadi cabaran besar bagi generasi muda Islam, khususnya daripada kalangan cerdik pandai Al-Azhar, untuk melakukan perubahan segi keberkesanan dan kekreatifan penyampaian ilmu (effective and creative knowledge delivery) tanpa membuang asas-asas Islam yang penting, oleh kerana yang paling utama di dalam peningkatan ilmu dalam tradisi Islam ialah kesahihan ilmu dan barakah daripada Allah SWT.

Pada hakikatnya, kekuatan yang diperolehi melalui pengajaran-pemelajaran ilmu di kalangan generasi muda Islam harus dimanfaatkan untuk membentuk pandangan umum masyarakat tentang isu-isu yang melibatkan kepentingan masyarakat. Selayaknya yang memecahkan kebuntuan isu-isu, sama ada bersifat agama mahupun duniawi, tidak harus didominasi oleh sesuatu golongan semata-mata, tetapi harus ada perkongsian bijak (smart partnership) dan prakarsa mengoptimumkan peranan ulama’ dan agamawan muda untuk lebih kehadapan dan menjadi jurubicara ummah.

Peranan jurubicara ummah ini seharusnya menjadi keutamaan oleh generasi muda Malaysia. Golongan ulama’ dan agamawan muda harus berani kehadapan untuk berdepan dengan golongan-golongan yang semakin mencabar ajaran-ajaran asasi Islam, seperti golongan Islam Liberal dan gerakan feminisme yang menuruti intelektualisme dan kerangkan kefahaman Barat tentang isu-isu gender, hak asasi manusia dan keagamaan.

CABARAN KEEMPAT – GENERASI MUDA ISLAM DAN MASA DEPAN SISTEM DUNIA

Agenda reformasi di kalangan Agensi-agensi di dalam sistem Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) perlu mendapat perhatian aktivis-profesional muda Islam. Reformasi Majlis Keselamatan (MK) Pertubuhan Bangsa-Bangsa yang diharapkan majoriti anggota PBB pada tahun 2005, telah gagal atas sebab-sebab utama berikut:
Pertama, Amerika Syarikat (AS) sebagai negara adidaya tunggal dan merupakan pembiaya 25% pentadbiran institusi antarabangsa tersebut tidak memberikan lampu hijau terhadap reformasi struktural MK PBB. Bagi AS, PBB merupakan institusi antarabangsa yang dijadikan alat untuk memaksimumkan kepentingan nasional negara tersebut. Dengan adanya ketergantungan kewangan PBB dari AS, maka institusi antarabangsa ini tidak akan mampu bersikap bebas ketika berhadapan dengan kepentingan AS dan sekutunya. Belum lagi ditambah sekretariat PBB di AS serta majoriti pekerja di institusi tersebut adalah warga AS, sehingga lengkaplah sudah cengkaman negeri adidaya tersebut terhadap institusi antarabangsa tersebut.

Kedua, China sebagai anggota tetap MK PBB yang merupakan wakil dari dunia ketiga ternyata tidak mahu berkongsi kekuasaan dengan negara-negara lain. Bagi China, jika Jepun menjadi anggota PBB kerana kekuatan ekonomi dan penguasaan teknologi, maka kuasa yang dimiliki China akan terjejas. Apalagi sepanjang sejarah peradaban bangsa China dengan Jepun selalu bersaing untuk menjadi pusatnya Asia dan dunia. Sikap konservatif China sebetulnya sangat menghampakan, oleh kerana dunia sekarang ini menginginkan kekuatan penyeimbang AS yang sering mengambil pendekatan unilateralism dan mengenepikan proses dan kedaulatan PBB. Mengharapkan China untuk menjadi penyeimbang AS dalam pentas politik global sukar diharapkan. Politik luar negara China lebih banyak diarahkan untuk menjaga perpaduan di dalam negara, bukan untuk memelihara perdamaian dunia yang bersifat universal.

Ketiga, negara-negara Afrika yang baru mengecap kemerdekaan di abad-20 ternyata tidak mempuyai kuasa yang cukup untuk berhadapan dengan negara-negara barat. Selain disebabkan oleh kemiskinan, rendahnya kuasa ekonomi, perang saudara; bangsa Afrika kurang bersatu dan sangat tergantung pada negara-negara maju baik itu dalam bidang ekonomi, dukungan rejim yang berkuasa. Negara Afrika Selatan yang paling maju juga gagal memimpin negara-negara Afrika untuk mendukung reformasi PBB.

Keempat, negara-negara Eropah seperti Perancis, United Kingdom merasa ketakutan jika Jerman menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB. Jerman yang pernah menguasai Eropah dengan Nazi-nya sampai sekarang tetap menghantui sebahagian besar negara Eropah.

Kelima, Negara-negara Islam tidak bersatu, walaupun dilihat sebagai kekuatan alternatif yang mampu menentang Barat pasca tumbangnya Negara Soviet. Jika umat Islam yang berjumlah lebih dari 1 bilion bersatu untuk merombak PBB maka ini menjadi modal dasar yang kuat. Tetapi kerana amalan anti-demokrasi yang terlalu meluas di kalangan negara Islam, maka kuasa tawar- menawar menjadi lemah. Implikasinya Islam terus dikaitkan dengan terorisme yang menjadi alat bagi negara-negara Barat memusuhi umat Islam di seluruh penjuru dunia. Politik idealis umat Islam di awal abad-21, ternyata tewas dengan politik realis yang dipraktikkan dalam hubungan antarabangsa oleh negara bangsa di dunia moden ini.

CABARAN KELIMA – GENERASI MUDA ISLAM PERLU BERSEDIA SEBAGAI PELAPIS KETAMADUNAN ISLAM

Bagi menghasilkan idea dan tindakan yang bernas di kalangan generasi muda Islam, maka para ulama’ muda, profesional muda, intelektual muda, muslimat muda dan aktivis muda hendaklah dilatih supaya peka terhadap perkembangan sains dan teknologi serta ilmu alat yang lain. Hasrat asas adalah untuk melahirkan kepemimpinan muda yang bukan hanya boleh memimpin, tetapi berkeupayaan menjadi pengurus, pendidik – al-qaidul murabbi dan memiliki daya fikir yang boleh melahirkan pemimpin-pemikir – al- qaidul mufakkir yang boleh berperanan sebagai pemimpin perubah (transformational leader)
Sebenarnya usaha berterusan ini dapat mengukuhkan lagi kedudukan geenrasi muda Islam dan penguasaan terhadap maklumat pula meningkatkan upaya untuk bersaing di arena antarabangsa. Dari perspektif yang lebih mudah, teknologi Internet bolehlah diibaratkan sebagai kemudahan pengangkutan yang boleh digunakan untuk membawa atau mengangkut barang tanpa mengira nilai barangan tersebut.
Sekiranya maklumat yang diibaratkan sebagai barangan itu bermutu dan bermanfaat, maka pengguna akhir yang menggunakannya pasti akan meraih manfaat juga. Dalam percontohan yang sama, jika maklumat yang dibawa, walaupun bernilai tinggi dan bermanfaat, tetapi tidak menggunakan pengangkutan terkini, maka ia tidak akan sampai dengan cepat kepada pengguna yang memerlukan.
Selaras dengan itu teknologi Internet dan maklumat harus dilihat secara bersepadu dan bukannya terpisah, kerana kualiti maklumat yang hendak disampaikan mungkin terabai sekiranya kita terlalu ghairah atau kagurn dengan teknologinya.

Asas utama yang harus melatari kesemua bentuk pemikiran dan kerangka tindakan generasi muda di dalam merencna kembali kecemerlangan tamaddun ialah pendidikan. Usaha yang bersepadu dalam menyantuni sistem pendidikan yang mewujudkan pencerahan pemikiran dan menyanjung ketinggian adab harus menjadi penelitian setiap pihak yang menyanjung Islam dengan segala nuansa dan aroma kehidupannya walaupun berada di tengah-tengah kemajuan sains dan teknologi barat. Maulana Syed Abul-Hasan ‘Ali al-Nadawi rh menyebut tentang kepentingan pendidikan ini dalam beberapa buah bukunya. Antaranya beliau menyebut tentang perkara itu dalam bukunya Islam and the World :

“Susunan pendidikan Alam Islam mesti bentuk semula habis-habisan dalam suluhan cahaya cita-cita Islam dan ajaran-ajarannya. Mempelajari dari negeri-negeri Barat apa yang maju terkedepan dalam sains dan teknologi adalah satu perkara, tetapi bila sahaja Muslimin melupai bahawa akar-umbi kekuatan mereka berada dalam Islam, dan mereka menjadi pengikut-pengikut khemah orang lain dari segi intelektualnya, tenaga-tenaga kreatif mereka menjadi terhalang. Dalam zaman lampau kepimpinan intelektual Muslimin diterima di seluruh dunia. Budaya dan ilmu pengetahuan mereka berkembang dalam setiap bidang kehidupan manusia di seluruh dunia. Buat masa yang lama dunia terus menerus berfikir dalam cara Islam dan mendapat inspirasi daripada kehidupan cara Islam.”

KHATIMAH

Generasi muda yang lahir dari institusi pendidikan berteraskan Islam berada pada kedudukan paling strategik untuk mendepani cabaran-cabaran kepimpinan di era globalisasi. Lima cabaran di atas sekadar menggariskan beberapa catitan keprihatinan tentang isu-isu yang perlu didepani saf-saf generasi muda abad ke -21 ini. Perkara yang menjadi teras kejayaan adalah ukuran taqwa dan nilai hamba di sisi Allah SWT. Di pihak generasi muda, sentiasa perlu diingatkan bahawa janji Allah itu adalah berserta dengan prasyarat tertentu yang perlu diusahakan dengan seikhlas mungkin. Jadilah sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang penyair tentang generasi muda Islam yang bertaqwa dan sedar akan peranannya, apabila beliau menukilkan:

“Be the son of whomever you wish
And acquire some adab
Verily this noble linage will enrich you
The youth is not the one who says: ‘My father was’
Rather: the youth is the one who says: Here I am”

Make a Comment

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d blogger menyukai ini: